Tuesday 3 December 2013

Wanita Semasa : Sihat Diri, Sihat Keluarga

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, syukur kpdNya kerana diberi kekuatan untuk terus menulis.  Saya sangat berharap tulisan saya ini, dapat memberi kebaikan.  Untuk saya, selama mana saya hidup, bahkan memberi kebaikan dan manfaat kpd saya selepas dari alam dunia ini.  Saya juga berdoa semoga pembaca-pembaca sekaliannya mendapat manfaat hasil penulisan ini. 'Ukhti, bebel ape lagi tu, cepatlah!' Heeee...Ok..ok, memandangkan masing-masing dah tak menyempat nak menimba ilmu, ini dia pengisian kali ini.

Slot ini telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Harlina Siraj.  Wanita merupakan jantung dalam sesebuah rumahtangga, betapa pentingnya peranan dan tanggungjawab yang perlu digalas oleh seorang wanita bagi menyediakan rumahtangganya sentiasa dalam keadaan 'sihat'.

Kesihatan selalunya dikaitkan dengan :

  • kesejahteraan
  • kecantikan
  • kekayaan
  • peluang&kesempatan
  • kasih sayang
Kesihatan ----> satu keadaan yang menyeluruh dan merangkumi aspek fizikal, mental dan sosial (WHO)
Satu lagi aspek yang perlu ditambah dalam definisi kesihatan ini ialah kesihatan dari aspek spiritual.

Letih mata, baca ayat-ayat panjang,kan.  Kita tengok mindmap pula ye!


Wanita Semasa:Sihat Diri, Sihat Keluarga

p/s: Wanita mestilah mampu menguruskan kesihatannya dalam seluruh aspek kehidupan terutamanya sudut emosi dan psikologikal.

'What happens in the mind of a man/woman is always reflected in the disease of his/her body'




Sunday 1 December 2013

Kedudukan Wanita Dalam Islam: Antara Liberal dan Ekstrim

Assalamualaikum..

Entry kali ini merupakan sambungan pengisian daripada Konvensyen Fiqh Wanita & Islam.  Ok, mari kita mulakan kelas.  :) JOM!

Slot ini telah disampaikan oleh Dr Zahazan Mohamed dan Dr Mohd Sukki Othman.  Semoga Allah rahmati dan berkati kehidupan mereka dan kita semua.  Ameen.

Lelaki dan wanita adalah manusia, insan, hamba ciptaanNya yang mempunyai tanggungjawab yang sama untuk mencari keredhaan Allah.  Islam mengangkat martabat wanita berbeza dengan fahaman yang lain.  Wanita tidak ditindas dalam Islam.  Malah, dalam al-Quran terdapat surah an-Nisa' yang bermaksud wanita dalam Bahasa Arab.  Disamping itu, terdapat satu lagi surah yang diambil bersempena dengan wanita iaitu surah Maryam.  MasyaAllah.

Bagi meneruskan catatan ini, saya sertakan sedikit nota tentang kedudukan wanita sebelum kedatangan Islam, selepas kedatangan Islam dan perbincangan mengenai kedudukan wanita dalam Islam : antara liberal dan ekstrim.

p/s: Note ini olahan saya daripada note Dr Zahazan&Dr Mohd Sukki.


Kedudukan Wanita Dalam Islam: Antara Liberal&Ekstrim

Saturday 30 November 2013

Perkahwinan Bukan Sekadar Aku Terima Nikahnya

Assalamualaikum...

Lama tidak berinteraksi secara maya di sini.  Akhir tahun di sekolah penuh dengan pelbagai program dan majlis ditambah pula pengalaman sebagai guru yang sebenar baharu sahaja mencecah empat bulan.  Guru-guru senior lebih relax berbanding guru baru.  Iyalah, pengalaman memainkan peranannya.  Fail-fail yang ditinggalkan oleh guru yang lama perlu diupdate, fail guru baharu juga perlu disiapkan sebelum cuti sekolah bermula. Alhamdulillah, sudah hampir dua minggu berada di rumah setelah 12minggu menghirup udara segar di Sarawak.

Pada akhir bulan Oktober yang lepas, saya berpeluang ke Konvensyen Nikah Itu Cinta di UM.  Alhamdulillah.  Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam membantu saya menghadirkan diri ke sana.  Semoga Allah membalasnya dengan kebaikan.  Ameen.  Akan saya kongsikan pengisian Konvensyen Nikah Itu Cinta dalam entry yang seterusnya.

Entry kali ini, saya akan kongsikan pengisian daripada Konvensyen Fiqh Wanita dan Islam.  Pengisian ini, adalah daripada seorang sahabat saya.  Saya panjangkan ilmu dengan menulis disini.  Semoga kita sama-sama dapat manfaatnya.

Perkahwinan.  Perkahwinan bukanlah sekadar aku terima nikahnya.  Namun, sebaik sahaja kalimah itu dilafazkan, bersedialah seorang lelaki atau suami menerima amanah dan tanggungjawab bagi memimpin dan menyelamatkan ahli keluarganya daripada api neraka.

Disini saya sertakan peta minda untuk mudahkan kefahaman kita semua.  JOM study note ni! :)

PERKAHWINANbukan Sekadar Aku Terima Nikahnya

p/s: note ini bukanlah 100% sama dengan note dari ustaz pahrol, olahan saya sendiri daripada ustaz.

Friday 4 October 2013

Hakikat

Hakikatnya, inilah kehidupan...
Allah ya Allah...

Pabila terasa diawasi Tuhan
Rasa berdosa setiap masa
Rasa hina diri dengan Tuhan
Rasa syukur dengan nikmat Nya

Jiwa derita dengan dosa
Hati rasa kurang amal pada Nya
Itulah hakikat sifat kehambaan
Bahagia...

Allah ya Allah

Mukmin sejati sentiasa waspada
Dari dosa tanpa sengaja
Apatah lagi dosa yang nyata
Umpama gunung jatuh padanya

Segala-galanya untuk Tuhannya
Jiwa derita dengan dosa
Hati rasa kurang amal pada Nya
Itulah hakikat sifat kehambaan
Bahagia...

Allah ya Allah

Gerak laku bertambah kaku
Lantaran nafsu yang telah jemu
Namun diriku bertambah malu
Pada-Mu ya Rabbi
Yang miliki sifat An-Nasru

p/s: Hakikat-Duranni

Sunday 1 September 2013

Sudah ketentuanNya...

Assalamualaikum...

Lama menyepi diri bukan bermaksud sudah melupakan.  Lama menyepi bukan bermaksud tidak rindu.  Diri selalu rindu untuk menulis disini.  Catatan kali ini sangat istemewa buat diri ini.

24 Jun 2013, pagi ini aku bangun dan melakukan rutin harianku seperti biasa.  Selepas mengemas rumah, aku berehat sekejap, melayari internet, dan membuka akaun facebook.  Membaca status rakan-rakan di facebook.  Masing-masing dengan rasa teruja menulis nama negeri untuk dipostingkan, masing-masing bersemangat untuk berkhidmat.  Iye lah hampir 7 bulan menunggu.  Selama itulah, setiap bulan, pasti ada khabar angin untuk kami dipostingkan, setiap tarikh, berlalu pergi, hampa.  Namun hari ini, terasa kelainannya sedikit.  Aku dapat rasakan kali ini bukan lagi khabar angin kosong.  Ini betul-betul!  bukan cobaan!

Dengupan jantung semakin kencang untuk menyemak negeri yang bakal untukku berkhidmat, mencari rezeki, menabur bakti demi anak bangsa tercinta.  Jari sedikit menggeletar semasa mengisi nombor kad pengenalan untuk semakan.  'Bismillahirrahmanirahim', klik pada pautan semak! aku pejam mata rapat-rapat sekejap, bila dah ada kekuatan, aku buka mata, lihat pada paparan skrin laptop. 'Sarawak'! 'Alhamdulillah, syukur padamu, rezeki aku masih dalam bidang perguruan, alhamdulillah!'.


Perasaan bercampur-baur, antara gembira, sedih, terharu.  Semuanya ada.  Gembira kerana akan mula berkhidmat sebagai seorang guru, sedih kerana akan berjauhan dari keluarga.

Aku memulakan perjalanan dari Perlis menuju ke Kuala Lumpur untuk sesi pendaftaran dan taklimat pada malam 29 Jun 2013 menaiki bas.  Aku peluk setiap seorang ahli keluargaku dengan erat.  Sebaik bas bergerak, air mata menitis tanpa sedar, tiba-tiba, perasaan sebak hadir dalam hati, perlahan-perlahan aku menyeka air mata daripada terus mengalir. 'Ya Allah, izinkan aku bahagia dengan pilihanMu'.

Pada 5 Julai 2013, aku tiba di sekolah, melihat anak-anak murid di padang melambai-lambai kearahku, aku rasa terharu dengan sambutan yang diberi.  'Inilah bakal anak-anak didikku, akan kudidik, biar menjadi insan berguna,insyaAllah!'.  Walaupun terasa sedikit pening akibat menempuh perjalanan panjang dari Kuching ke Bekenu, Miri selama 15 jam menaiki bas, aku berusaha ringankan mulut, berkenalan dengan semua warga sekolah.  Sungguh aku bersyukur, semua warga sekolah ini sangat peramah, memudahkan aku untuk bergaul mesra.

Terima kasih Allah, selama menunggu lebih 7 bulan, inilah hadiah kirimanMu.  Aku percaya, disini yang terbaik buatku.  Inilah ketentuanMu.  Akan kulaksanakan amanah ini sebaiknya, dengan izinMu.

Saturday 1 June 2013

Second Chance = Last Chance..?!

Assalamualikum..

Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana masih memberi peluang menikmati alam ciptaanMu yang indah dalam suasana penuh kasih sayang.

Manusia, memang tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan.  Sengaja atau tidak sengaja.  Namun, sebagai seorang yang beragama Islam, kita sememangnya sangat bertuah kerana Allah itu Maha Pengampun, Maha Pengasih, Maha Penyayang.  Setiap dosa/maksiat yang pernah dilakukan Allah janjikan keampunanNya selagi kita mahu dan tekad untuk bertaubat, kembali kepada jalan yang diredhaiNya.

Dari Anas ra berkata, aku mendengar Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda "Allah SWT berfirman, 'Wahai anak Adam! Selama engkau berdoa dan berharap kepadaKu, nescaya Aku ampuni segala dosamu yang telah lalu dan Aku tidak peduli lagi.  Wahai anak Adam! Jikalau dosamu membumbung setinggi langit kemudian engkau memohon ampunanKu, pasti engkau Kuampuni.  Wahai anak Adam! Andaikata engkau datang kepadaKu dengan kesalahan sepenuh bumi, kemudian engkau menemuiKu dalam keadaan tidak menyekutukanKu sedikitpun, pasti Aku akan mendatangimu dengan ampunan sepenuh bumi pula"
(H.R Tirmidzi)

Manusia mana yang tidak pernah melakukan kesilapan, (kecuali Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam)? Justeru, layakkah kita untuk menghukum atau menilai seseorang berdasarkan kesilapannya yang lalu?  Layakkah kita menilainya hari ini berdasarkan kesilapannya semalam? Layakkah kita yang juga pelaku dosa, menilai insan lain?

Justeru, yang perlu difahami ialah,

  • Sesiapa yang merasakan dirinya baik, hakikatnya dia jahat kerana telah menganggap dirinya mulia dan telah melakukan dosa hati.
  • Sesiapa yang merasakan dirinya tidak berdosa, dia sudah melakukan dosa kerana merasakan dirinya tidak berdosa itu ialah satu dosa.
  • Sesiapa yang merasakan dirinya mulia, hakikatnya hina dan telah melakukan dosa kerana merasakan dirinya mulia itu juga satu dosa.

Kata Ustaz Pahrol,

"Kita patut rasa berdosa apabila sering menilai seseorang berdasarkan masa silamnya...sedangkan kita sendiri tidak mahu dinilai berdasarkan masa silam kita.  Hidup adalah satu proses yang dinamik, bukan satu hentian yang statik.  selagi belum ajal, selagi itulah ada peluang untuk memperbaiki kesilapan lampau.  Mengapa kita tergesa-gesa menghukum sedangkan Allah tidak begitu?  Allah lambat menghukum pendosa supaya dia sempat bertaubat."




p/s: Jika tidak mendapat second chance untuk memperbaiki kesilapan daripada seorang manusia yang juga hamba Allah, mintalah second chance, third chance forth chance and so on daripada Allah,  jangan berputus asa dari rahmat Allah. Pintu taubat masih terbuka luas.  Jom sucikan diri! :)

Friday 31 May 2013

Life Is The Hardest Exam

Assalamualaikum...

Syukur alhamdulillah masih berpeluang menulis di laman ini.  Allah sudi meminjamkan hayat bagi menikmati hidup di dunia ini.  Dunia yang penuh dengan ujian.  Memang betulla, dunia ini pentas ujian.  Ujian itu dapat membezakan antara orang yang beriman dan orang yang munafiq.

"Dan di antara manusia ada sebahagian yang berkata, 'Kami beriman kepada Allah'.   Tetapi apabila dia disakiti (kerana dia beriman) kepada Allah, dia menganggap cubaan manusia itu siksaan Allah.  Dan jika datang pertolongan TuhanMu, nescaya mereka akan berkata, 'Sesungguhnya kami bersama kamu'.  Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada semua manusia?
Dan Allah pasti mengetahui orang-orang yang beriman dan Dia pasti mengetahui orang-orang yang munafiq".
(Surah al-Ankabut : 10-11)

Kata Dr. Yusuf al-Qardhawi,

"Banyak orang menempel-nempel keimanan.  Bila datangnya ujian, maka hilanglah tempelan-tempelan itu."

Ujian yang menimpa manusia bukanlah dalam bentuk kesukaran, kesusahan, kesulitan dalam berhadapan sesuatu situasi.  Tetapi ia juga datang dalam bentuk kekayaan, kesenangan, kelapangan.  Ujian dalam bentuk ini lebih berat daripada ujian dalam bentuk kesusahan kerana ia dapat melalaikan kita dari mengingati Allah.  Sudah menjadi fitrah manusia meyakini ada suatu kuasa yang mengawal keseluruhan alam ini.  Bahkan atheis yang sombong mengatakan tidak percaya kewujudan tuhan yang menguasai alam, apabila mereka ditimpa bencana, mereka tidak segan silu memohon perlindungan agar dilindungi daripada bencana yang melanda.

Setiap suatu yang terjadi semestinya terselit seribu satu hikmah yang tersendiri.  Ilmu manusia jika dibandingkan denganNya, sangatlah terhad, kerdil, terlalu kecil untuk dibandingkan.  Pasti ada yang tidak tersingkap oleh akal manusia.

Bertindaklah sebagai seorang mukmin apabila berhadapan dengan ujian dariNya.  Bersyukur apabila mendapat kesenangan, bersabar apabila mendapat kesusahan.

"Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin, setiap urusan adalah baik baginya, hal itu tidak dimiliki oleh sesiapun, kecuali oleh orang mukmin.
Apabila mendapat kesenangan, dia bersyukur, dan itu baik untuknya.  Apabila mendapat kesusahan, dia bersabar, dan itu baik untuknya". 
 (H.R Muslim)


p/s: Sentiasa didik hati supaya redha dan sabar dengan ketentuanNya.  Yakinlah setiap apa yang diaturkan Allah dalam perjalanan hidup ini, baik-baik belaka. smile! :)

Tuesday 21 May 2013

Sakinah. Mawaddah. Rahmah.Amanah

Assalamualaikum...

Cuti sekolah kian menghampiri, kad-kad jemputan perkahwinan juga makin meninggi disusun di atas rak.  Alhamdulillah, makin ramai saudara-mara, sahabat-sahabat, senior-senior, junior-junior yang akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.

Sebut sahaja tentang perkahwinan, kenduri kahwin, mungkin ramai yang suka tentang topik ini.  Iyalah, perkahwinan sudah sinonim dengan erti kebahagiaan.  Siapa yang tidak suka bahagia, kn..?  Menulis tentang topik perkahwinan ni, teringat nasihat Ustaz Pahrol, 'jangan mencari kebahagiaan dalam rumahtangga, tetapi binalah bahagia dalam diri dan bawalah kebahagiaan dalam rumahtangga'.  Alam rumahtangga, sudah semestinya sangat mencabar.  Daripada hidup bersendiri, berubah hidup berdua, mesti perlukan toleransi, kerjasama antara individu yang sudah berjanji untuk susah dan senang bersama.

Tujuan awal perkahwinan ialah untuk meraih sakinah.  Sakinah bermaksud ketenangan.  Cinta yang bergejolak dalam hati dan diliputi rasa tidak pasti, yang mewujudkan rasa cemas akan membuahkan sakinah atau ketenangan dan ketenteraman hati apabila dilanjutkan dengan perkahwinan.  Ketenangan ini bukan sahaja dipandang daripada sudut naluri seksual semata-mata.  Tetapi, lebih daripada itu.  Ketenangan ini, diimpikan oleh setiap pasangan suami isteri.  Saat suami keluar dari rumah atas tuntutan kerja, isteri berasa tenang untuk melepaskan suaminya pergi.  Saat suami keluar untuk mencari nafkah buat keluarga, dia berasa tenang meninggalkan isterinya dirumah.  Sakinah terlihat pada air muka yang cerah disertai dengan hati yang lapang, budi bahasa yang halus yang terlahir daripada ketenangan.  Itu sakinah dalam perkahwinan.  Namun, sakinah tidak akan wujud begitu sahaja.  Ada syarat bagi meraihnya.

  • Hati perlu dipersiapkan dengan sabar dan takwa
  • Kosongkan hati daripada sifat-sifat tercela dan gantikan dengan sifat-sifat terpuji

Sesebuah perkahwinan diikat dengan tali pengikat yang tebal dan sangat kuat.  Ia terdiri daripada tiga rangkaian pengikat:

  1. Mawaddah
  2. Rahmah
  3. Amanah
Mawaddah bermaksud kelapangan dan kekosongan jiwa daripada kehendak buruk.  Sehingga pintu-pintunya tertutup pada keburukan zahir dan batin.  Mawaddah adalah cinta yang terlihat kesannya pada perlakuan.  Ia sama seperti terlihatnya sikap patuh akibat rasa kagum dan hormat pada seseorang.  Namun begitu, mawaddah bukanlah tercipta dengan mudah, ia bukan tercipta sebaik sahaja perkahwinan berlangsung.  Allah menganugerahkan potensi bagi setiap pasangan yang berkahwin untuk meraihnya.  Jadi, pasangan yang benar-benar menginginkannya akan berusaha dan berjuang bagi meraihnya.

Rahmah adalah kedudukan psikologi yang muncul dalam hati akibat menyaksikan kelemahan, sehingga mendorong seseorang untuk membantunya.  Rahmah yang menghiasi jiwa seseorang mampu membendung kemahuan dan keperluan yang berpotensi menyakiti pasangan akibat dari kelemahan pasangannya.  Contohnya seorang suami mungkin mahukan anak, tetapi isterinya mandul, menyebabkan dia terdorong mahu berpoligami.  Namun, sekiranya dia menyedari hal itu akan menyakiti isterinya, dia akan membendung kemahuan tersebut.  Ketika ini, suami akan berkorban demi cinta dan kasihnya kepada isteri.

Amanah adalah sesuatu yang diserahkan kepada pihak lain, disertai dengan perasaan aman daripada pemberi kerana percaya apa yang diamanahkan akan dijaga sebaiknya.  Isteri adalah amanah kepada suami, suami adalah amanah kepada isteri.  Suami dan isteri akan menjalin hubungan dengan mesra kerana masing-masing berasa aman dan percaya kepada pasangannya.  Amanah dijaga dengan mengingati kebesaran Allah dan melaksanakan segala tuntutan agama dan meninggalkan larangannya.  Semakin patuh pasangan memenuhi nilai-nilai yang diamanahkan oleh Allah, semakin kukuh hubungan mereka.

Sakinah.Mawaddah.Rahmah.Amanah.  Perlukan perjuangan untuk meraihnya!

p:s/ Penulisan ini diolah hasil pembacaan daripada buku "Pengantin Al-Quran" karya M. Quraish Shihab.

Monday 20 May 2013

Cikgu....~

Assalamualaikum...

Alhamdulillah..syukur kepadaNya kerana diri ini masih lagi diberikan kesempatan untuk menulis disini.  Sudah mendapat tawaran pelantikan tetap jawatan pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah gred 41, alhamdulillah..syukur yang tidak terhingga dipanjatkan kehadrat Ilahi.  Emak pesan, 'Usah leka, bersyukurlah!'.

Perasaan nak ke sekolah, mmg dah membuak-buak, tidur dah termimpi-mimpi berjumpa bakal anak-anak murid.  Semoga urusan posting dipermudahkanNya.  Tidak kisah bakal ditempatkan di negeri, disekolah mana..asalkan dapat berkhidmat untuk masyarakat.  Anak-anak ini perlukan didikan,asuhan..Besar harapan untuk melihat mereka berjaya, besar harapan ingin menjadi sebahagian daripada kisah kejayaan yang bakal mereka lakarkan, insyaAllah!





Saturday 20 April 2013

Hadiah yang dikirimNya...


Hadiah yang dikirimNya,
Sangat istimewa,
Kenapa perlu dirosakkan dgn tangan yg menerimanya?
Adakah cukup dgn sekadar ‘Alhamdulillah’ di lisan?
Jika benar bersyukur, buktikanlah kpdNya.

Hadiah yang dikirimNya,
Terlalu istimewa,
Kenapa tidak pandai menghargai?
Allah itu Maha Kaya,
Dia berhak memberi, berhak juga mengambilnya kembali.

Hadiah yang dikirimNya,
Sbg ujian utk hambaNya,
Bersyukur atau kufur?



Wahai Allah, Pemberi hadiah dan segala nikmat,
Maafkan jika tidak sabar membuka balutan hadiah,
Hingga mencacatkan hadiah kirimanMu

Wahai Allah, Pemberi hadiah dan segala nikmat,
Syukurku Engkau masih memilihku menerima hadiahMu,
Walau diri sering alpa dan leka kpdMu dgn hadiah yang telah dikirimkan.

Wahai Allah, ampuni aku...

Monday 25 March 2013

Men and Women

Assalamualaikum...

Alhamdulillah...hari ini, masih lagi diberi peluang olehNya untuk meneruskan hidup & diberi kesihatan yang baik...Didoakan semoga semua rakan pembaca sihat jugalah hendaknya, ya..:)

Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah, sangat unik dan berbeza antara satu sama lain. Rupa berbeza, perangai berbeza, sifat berbeza, semuanya berbeza.  Hatta pasangan kembar juga berbeza.  Jika rupanya sama, tentu ada sifatnya atau perangainya yang akan membezakan mereka.  Perbezaan ini, sebenarnya bukanlah untuk menjarakkan, tetapi ia mempunyai hikmah yang tersendiri.  Melalui perbezaan, seseorang itu dapat dikenali.  Melalui perbezaan juga, akan timbul perasaan yang enak iaitu saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Men and women... Dari semua segi, memang terdapat banyak perbezaan yang ketara antara kaum lelaki dan juga kaum wanita.

Kaum lelaki sangat mementingkan kuasa, kebolehan, kecekapan dan pencapaian.  Harga diri mereka didefinasikan melalui kebolehan mereka mencapai hasil yang mereka mahukan.  Mencapai matlamat adalah penting buat kaum lelaki kerana ia menjadi cara mereka membuktikan kecekapannya dan seterusnya memberikannya kepuasan.  Kepuasan ini hanya akan dapat dicapai apabila semua matlamat yang ditetapkan adalah atas hasil usaha diri mereka sendiri tanpa bantuan daripada mana-mana pihak.  Kaum lelaki akan merasakan diri mereka seperti tidak berkemampuan melaksanakan sesuatu apabila menerima nasihat.  Kaum lelaki cukup terkesan apabila menerima nasihat kerana isu kompetensi dan kemampuan itu sangat penting buat mereka.  Tetapi, jika mereka benar-benar memerlukan nasihat, mereka akan meminta nasihat daripada seseorang yang dihormatinya dan pakar dalam bidang tersebut.  Bagi meminta nasihat, kaum lelaki akan menceritakan masalah yang dihadapinya untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah tersebut.

Berbeza pula dengan kaum wanita, harga diri mereka didefinasikan daripada perasaan dan kualiti hubungan. Mereka berasa puas apabila dapat berkongsi, menyokong, membantu, mendorong antara satu sama lain. Cara kaum wanita meluahkan kasih sayang adalah dengan membantu, memberi nasihat dan sokongan kepada mereka yang dirasakannya memerlukan.  Pada pendapat mereka, memberi nasihat tidak akan menyinggung perasaan orang yang menerimanya.  Manakala menerima nasihat, bukanlah tanda seseorang itu lemah dan tidak berkemampuan menyelesaikan masalahnya sendiri.

Secara ringkasnya:

  • Kaum lelaki, tidak suka menerima nasihat kerana beranggapan bahawa dirinya tidak berkemampuan menyelesaikan sesuatu masalah.  Kaum wanita pula, suka memberi nasihat kerana itu merupakan cara untuk meluahkan kasih sayangnya. 


  • Kaum lelaki berkongsi sesuatu masalah dengan seseorang untuk mencari jalan penyelesaian.  Kaum wanita pula, berkongsi masalah dengan seseorang dengan harapan untuk difahami perasaannya tanpa meminta jalan penyelesaian.  


Jika dilihat perbezaan ini, mesti akan berlaku salah faham dalam berkomunikasi antara kaum lelaki dan wanita walaupun hal yang kecil.  Jika hal yang kecil juga berlaku salah faham, apatah lagi jika berhadapan dengan situasi yang lebih rumit.  Antara langkah yang dapat diambil untuk mengelakkan salah faham ini daripada berlaku ialah :


  • Kaum wanita perlu berhenti memberi nasihat tanpa diminta kepada kaum lelaki.  Walaupun dengan niat yang baik, tetapi nasihat itu akan melukakan hati lelaki.
Contohnya, pasangan suami dan isteri tersesat jalan. (Ahmad & Aminah).  Puan Aminah memberi nasihat kepada Encik Ahmad untuk bertanya jalan kepada orang.  Puan Aminah beranggapan bahawa dia memberi nasihat kerana dia sayangkan Encik Ahmad.  Encik Ahmad pula akan berkecil hati kerana merasakan Puan Aminah tidak percaya akan kebolehannya.  Encik Ahmad tentu lebih gembira jika Puan Aminah berkata, "Saya percayakan kebolehan kamu, kamu memang suka akan perjalanan yang mencabar begini".


  • Kaum lelaki perlu melatih diri mendengar tanpa menawarkan sebarang jalan penyelesaian yang mungkin menidakkan atau memperlekehkan perasaan kaum wanita.
Contohnya, pasangan suami isteri berhadapan satu situasi. (Yusuf & Zulaikha) Puan Zulaikha merasa sedih kerana bateri handphonenya rosak dan handphonenya perlu dicas 9-10 kali sehari :(  Dia menceritakan masalah tersebut kepada Encik Yusuf.  Encik Yusuf terus menyuruhnya membeli bateri handphone yang baru.  Puan Zulaikha berkecil hati kerana merasakan Encik Yusuf memperlekehkan perasaannya.  Encik Yusuf pula beranggapan, Puan Zulaikha menceritakan hal itu untuk mendapatkan jalan penyelesaian.  Tentu lebih menenangkan hati Puan Zulaikha jika Encik Yusuf berkata, "Kasihannya kamu perlu mengecas handphone sebanyak itu dalam masa sehari, saya faham perasaan kamu kerana saya juga pernah mengalami hal seperti itu dahulu".

p/s: Perkongsian ilmu mengenai cara berkomunikasi antara lelaki dan perempuan ini diolah daripada pembacaan buku bertajuk "Men Are From Mars, Women Are From Venus" karya John Gray.  Semoga bermafaat.

Friday 1 March 2013

Mengingati Allah, Bersyukur, Hati Menjadi Tenang...

Assalamualaikum w.b.t..

Lebih dua bulan sepi dari sebarang update..Hari ini, alhamdulillah, dengan izinNya jari kembali menari-nari diatas keyboard..Sepi bukan bermaksud melupakan, namun diri perlu lebih mencari sesuatu agar dapat memberikan (berkongsi) sesuatu..Mana mungkin ingin memberi tanpa memiliki sesuatu...

Setiap hari kita pasti terdetik mengimpikan sesuatu...sama ada mengimpikan makhluk,harta,kekayaan dan sebagainya untuk dimiliki...Tanyalah kepada sesiapa sahaja. Ustaz, pakcik teksi, tukang kebun, anak kecil, mamat burger...pasti akan ada keinginan untuk memiliki sesuatu...Begitu juga dengan diri saya dan kamu...Tetapi pernah atau tidak timbul didalam hati apa yg paling, sangat, tersangat, amat perlu sekali dalam kehidupan ini...Sebagai manusia yg bertuhankan Allah Azza Wa Jalla, sudah pastinya kita amat memerlukan pencipta kita, kita perlukan ketenangan hati dalam mendepani arus kehidupan ini.


"...Ingatlah, dengan mngingati Allah, hati menjadi tenang."
(ar-Ra'd: 28)

"Maka ingatlah Aku, nescaya Aku akan mengingatimu dan syukurilah atas nikmatKu dan jangan sekali-kali kamu kufuri nikmatKu."
 (al-Baqarah:152).  







Hati yang tenang hanya dapat diperoleh apabila jiwa sentiasa ingat padaNya dan mensyukuri nikmatNya...semua org tidak pernah memiliki segalanya secara sempurna...Manusia tidak akan pernah sempurna kerana sifat sempurna itu hanya milikNya...manusia sentiasa diuji dengan ketidaksempurnaan sesuautu kerana dunia ini merupakan pentas ujian...Bagi mendapatkan ketenangan hati, didiklah,pujuklah hati supaya sntiasa bersyukur. Syukurilah kerana Allah sentiasa bersama kita walau dimana kita berada.

 "Aku tidak selalu mendapatkan apa yg ku sukai oleh kerana itu, aku selalu menyukai apapun yg aku dapatkan".  

Madah seorang pengarang yang sangat memberi motivasi untuk jiwa sentiasa subur dengan sifat syukur.

Allah sentiasa bersamamu, tidak kira waktu sukar mahupun senang, sedih mahupun gembira...Tika senang, Allah diingati sebagai tanda syukur Dia menganugerahkan kesenangan yang tidak mampu dibayar, tika susah dan musibah melanda, Allah diingati sebagai tanda redha dan pasrah atas ketentuanNya.  Segala yg terjadi pasti ada hikmahnya yg tersendiri. Justeru, janganlah mengeluh nasib diri, kerana janji Allah sentiasa bersama mereka yang merasa syukur atas apa yang dimiliki.

"Kami akan memberikan balasan kepada orang-orang yang bersyukur."
(ali-Imran:145)


p/s: Syukurilah dengan apa yg kita miliki pada hari ini...Ingatlah Dia sebagai tanda cintamu kepadaNya...Mudah-mudahkan keredhaan Allah singgah didalam jiwa kita.