Sunday 1 September 2013

Sudah ketentuanNya...

Assalamualaikum...

Lama menyepi diri bukan bermaksud sudah melupakan.  Lama menyepi bukan bermaksud tidak rindu.  Diri selalu rindu untuk menulis disini.  Catatan kali ini sangat istemewa buat diri ini.

24 Jun 2013, pagi ini aku bangun dan melakukan rutin harianku seperti biasa.  Selepas mengemas rumah, aku berehat sekejap, melayari internet, dan membuka akaun facebook.  Membaca status rakan-rakan di facebook.  Masing-masing dengan rasa teruja menulis nama negeri untuk dipostingkan, masing-masing bersemangat untuk berkhidmat.  Iye lah hampir 7 bulan menunggu.  Selama itulah, setiap bulan, pasti ada khabar angin untuk kami dipostingkan, setiap tarikh, berlalu pergi, hampa.  Namun hari ini, terasa kelainannya sedikit.  Aku dapat rasakan kali ini bukan lagi khabar angin kosong.  Ini betul-betul!  bukan cobaan!

Dengupan jantung semakin kencang untuk menyemak negeri yang bakal untukku berkhidmat, mencari rezeki, menabur bakti demi anak bangsa tercinta.  Jari sedikit menggeletar semasa mengisi nombor kad pengenalan untuk semakan.  'Bismillahirrahmanirahim', klik pada pautan semak! aku pejam mata rapat-rapat sekejap, bila dah ada kekuatan, aku buka mata, lihat pada paparan skrin laptop. 'Sarawak'! 'Alhamdulillah, syukur padamu, rezeki aku masih dalam bidang perguruan, alhamdulillah!'.


Perasaan bercampur-baur, antara gembira, sedih, terharu.  Semuanya ada.  Gembira kerana akan mula berkhidmat sebagai seorang guru, sedih kerana akan berjauhan dari keluarga.

Aku memulakan perjalanan dari Perlis menuju ke Kuala Lumpur untuk sesi pendaftaran dan taklimat pada malam 29 Jun 2013 menaiki bas.  Aku peluk setiap seorang ahli keluargaku dengan erat.  Sebaik bas bergerak, air mata menitis tanpa sedar, tiba-tiba, perasaan sebak hadir dalam hati, perlahan-perlahan aku menyeka air mata daripada terus mengalir. 'Ya Allah, izinkan aku bahagia dengan pilihanMu'.

Pada 5 Julai 2013, aku tiba di sekolah, melihat anak-anak murid di padang melambai-lambai kearahku, aku rasa terharu dengan sambutan yang diberi.  'Inilah bakal anak-anak didikku, akan kudidik, biar menjadi insan berguna,insyaAllah!'.  Walaupun terasa sedikit pening akibat menempuh perjalanan panjang dari Kuching ke Bekenu, Miri selama 15 jam menaiki bas, aku berusaha ringankan mulut, berkenalan dengan semua warga sekolah.  Sungguh aku bersyukur, semua warga sekolah ini sangat peramah, memudahkan aku untuk bergaul mesra.

Terima kasih Allah, selama menunggu lebih 7 bulan, inilah hadiah kirimanMu.  Aku percaya, disini yang terbaik buatku.  Inilah ketentuanMu.  Akan kulaksanakan amanah ini sebaiknya, dengan izinMu.

No comments:

Post a Comment