Friday 31 May 2013

Life Is The Hardest Exam

Assalamualaikum...

Syukur alhamdulillah masih berpeluang menulis di laman ini.  Allah sudi meminjamkan hayat bagi menikmati hidup di dunia ini.  Dunia yang penuh dengan ujian.  Memang betulla, dunia ini pentas ujian.  Ujian itu dapat membezakan antara orang yang beriman dan orang yang munafiq.

"Dan di antara manusia ada sebahagian yang berkata, 'Kami beriman kepada Allah'.   Tetapi apabila dia disakiti (kerana dia beriman) kepada Allah, dia menganggap cubaan manusia itu siksaan Allah.  Dan jika datang pertolongan TuhanMu, nescaya mereka akan berkata, 'Sesungguhnya kami bersama kamu'.  Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada semua manusia?
Dan Allah pasti mengetahui orang-orang yang beriman dan Dia pasti mengetahui orang-orang yang munafiq".
(Surah al-Ankabut : 10-11)

Kata Dr. Yusuf al-Qardhawi,

"Banyak orang menempel-nempel keimanan.  Bila datangnya ujian, maka hilanglah tempelan-tempelan itu."

Ujian yang menimpa manusia bukanlah dalam bentuk kesukaran, kesusahan, kesulitan dalam berhadapan sesuatu situasi.  Tetapi ia juga datang dalam bentuk kekayaan, kesenangan, kelapangan.  Ujian dalam bentuk ini lebih berat daripada ujian dalam bentuk kesusahan kerana ia dapat melalaikan kita dari mengingati Allah.  Sudah menjadi fitrah manusia meyakini ada suatu kuasa yang mengawal keseluruhan alam ini.  Bahkan atheis yang sombong mengatakan tidak percaya kewujudan tuhan yang menguasai alam, apabila mereka ditimpa bencana, mereka tidak segan silu memohon perlindungan agar dilindungi daripada bencana yang melanda.

Setiap suatu yang terjadi semestinya terselit seribu satu hikmah yang tersendiri.  Ilmu manusia jika dibandingkan denganNya, sangatlah terhad, kerdil, terlalu kecil untuk dibandingkan.  Pasti ada yang tidak tersingkap oleh akal manusia.

Bertindaklah sebagai seorang mukmin apabila berhadapan dengan ujian dariNya.  Bersyukur apabila mendapat kesenangan, bersabar apabila mendapat kesusahan.

"Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin, setiap urusan adalah baik baginya, hal itu tidak dimiliki oleh sesiapun, kecuali oleh orang mukmin.
Apabila mendapat kesenangan, dia bersyukur, dan itu baik untuknya.  Apabila mendapat kesusahan, dia bersabar, dan itu baik untuknya". 
 (H.R Muslim)


p/s: Sentiasa didik hati supaya redha dan sabar dengan ketentuanNya.  Yakinlah setiap apa yang diaturkan Allah dalam perjalanan hidup ini, baik-baik belaka. smile! :)

Tuesday 21 May 2013

Sakinah. Mawaddah. Rahmah.Amanah

Assalamualaikum...

Cuti sekolah kian menghampiri, kad-kad jemputan perkahwinan juga makin meninggi disusun di atas rak.  Alhamdulillah, makin ramai saudara-mara, sahabat-sahabat, senior-senior, junior-junior yang akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.

Sebut sahaja tentang perkahwinan, kenduri kahwin, mungkin ramai yang suka tentang topik ini.  Iyalah, perkahwinan sudah sinonim dengan erti kebahagiaan.  Siapa yang tidak suka bahagia, kn..?  Menulis tentang topik perkahwinan ni, teringat nasihat Ustaz Pahrol, 'jangan mencari kebahagiaan dalam rumahtangga, tetapi binalah bahagia dalam diri dan bawalah kebahagiaan dalam rumahtangga'.  Alam rumahtangga, sudah semestinya sangat mencabar.  Daripada hidup bersendiri, berubah hidup berdua, mesti perlukan toleransi, kerjasama antara individu yang sudah berjanji untuk susah dan senang bersama.

Tujuan awal perkahwinan ialah untuk meraih sakinah.  Sakinah bermaksud ketenangan.  Cinta yang bergejolak dalam hati dan diliputi rasa tidak pasti, yang mewujudkan rasa cemas akan membuahkan sakinah atau ketenangan dan ketenteraman hati apabila dilanjutkan dengan perkahwinan.  Ketenangan ini bukan sahaja dipandang daripada sudut naluri seksual semata-mata.  Tetapi, lebih daripada itu.  Ketenangan ini, diimpikan oleh setiap pasangan suami isteri.  Saat suami keluar dari rumah atas tuntutan kerja, isteri berasa tenang untuk melepaskan suaminya pergi.  Saat suami keluar untuk mencari nafkah buat keluarga, dia berasa tenang meninggalkan isterinya dirumah.  Sakinah terlihat pada air muka yang cerah disertai dengan hati yang lapang, budi bahasa yang halus yang terlahir daripada ketenangan.  Itu sakinah dalam perkahwinan.  Namun, sakinah tidak akan wujud begitu sahaja.  Ada syarat bagi meraihnya.

  • Hati perlu dipersiapkan dengan sabar dan takwa
  • Kosongkan hati daripada sifat-sifat tercela dan gantikan dengan sifat-sifat terpuji

Sesebuah perkahwinan diikat dengan tali pengikat yang tebal dan sangat kuat.  Ia terdiri daripada tiga rangkaian pengikat:

  1. Mawaddah
  2. Rahmah
  3. Amanah
Mawaddah bermaksud kelapangan dan kekosongan jiwa daripada kehendak buruk.  Sehingga pintu-pintunya tertutup pada keburukan zahir dan batin.  Mawaddah adalah cinta yang terlihat kesannya pada perlakuan.  Ia sama seperti terlihatnya sikap patuh akibat rasa kagum dan hormat pada seseorang.  Namun begitu, mawaddah bukanlah tercipta dengan mudah, ia bukan tercipta sebaik sahaja perkahwinan berlangsung.  Allah menganugerahkan potensi bagi setiap pasangan yang berkahwin untuk meraihnya.  Jadi, pasangan yang benar-benar menginginkannya akan berusaha dan berjuang bagi meraihnya.

Rahmah adalah kedudukan psikologi yang muncul dalam hati akibat menyaksikan kelemahan, sehingga mendorong seseorang untuk membantunya.  Rahmah yang menghiasi jiwa seseorang mampu membendung kemahuan dan keperluan yang berpotensi menyakiti pasangan akibat dari kelemahan pasangannya.  Contohnya seorang suami mungkin mahukan anak, tetapi isterinya mandul, menyebabkan dia terdorong mahu berpoligami.  Namun, sekiranya dia menyedari hal itu akan menyakiti isterinya, dia akan membendung kemahuan tersebut.  Ketika ini, suami akan berkorban demi cinta dan kasihnya kepada isteri.

Amanah adalah sesuatu yang diserahkan kepada pihak lain, disertai dengan perasaan aman daripada pemberi kerana percaya apa yang diamanahkan akan dijaga sebaiknya.  Isteri adalah amanah kepada suami, suami adalah amanah kepada isteri.  Suami dan isteri akan menjalin hubungan dengan mesra kerana masing-masing berasa aman dan percaya kepada pasangannya.  Amanah dijaga dengan mengingati kebesaran Allah dan melaksanakan segala tuntutan agama dan meninggalkan larangannya.  Semakin patuh pasangan memenuhi nilai-nilai yang diamanahkan oleh Allah, semakin kukuh hubungan mereka.

Sakinah.Mawaddah.Rahmah.Amanah.  Perlukan perjuangan untuk meraihnya!

p:s/ Penulisan ini diolah hasil pembacaan daripada buku "Pengantin Al-Quran" karya M. Quraish Shihab.

Monday 20 May 2013

Cikgu....~

Assalamualaikum...

Alhamdulillah..syukur kepadaNya kerana diri ini masih lagi diberikan kesempatan untuk menulis disini.  Sudah mendapat tawaran pelantikan tetap jawatan pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah gred 41, alhamdulillah..syukur yang tidak terhingga dipanjatkan kehadrat Ilahi.  Emak pesan, 'Usah leka, bersyukurlah!'.

Perasaan nak ke sekolah, mmg dah membuak-buak, tidur dah termimpi-mimpi berjumpa bakal anak-anak murid.  Semoga urusan posting dipermudahkanNya.  Tidak kisah bakal ditempatkan di negeri, disekolah mana..asalkan dapat berkhidmat untuk masyarakat.  Anak-anak ini perlukan didikan,asuhan..Besar harapan untuk melihat mereka berjaya, besar harapan ingin menjadi sebahagian daripada kisah kejayaan yang bakal mereka lakarkan, insyaAllah!